SINGAPURA – Bungkusan mencurigakan yang dihantar ke Masjid Al-Istiqamah, Utara Serangoon mengandungi daging dipercayai asal babi, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam seperti laporan portal berita MSNews kelmarin.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, siasatan masih dijalankan.
Bercakap kepada media di masjid tersebut, Shanmugam berkata, pihak berkuasa sedang menyemak jenis daging yang ditemui.
Namun, katanya, pada pandangan awal, ia kelihatan seperti daging babi.
Shanmugam yang juga Menteri Penyelarasan bagi Keselamatan Negara berkata, pihak berkuasa memandang perkara itu dengan sangat serius.
Penghantaran bungkusan mencurigakan pada tengah hari Rabu lalu menyebabkan masjid itu dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, demikian menurut polis. – AGENSI