STRASBOURG – Amir Murillo muncul penyelamat Marseille apabila jaringannya pada masa kecederaan memastikan kemenangan 2-1 ke atas Strasbourg dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi.
Skuad kendalian Roberto De Zerbi itu masih segar dengan kejayaan membenam Paris Saint-Germain (PSG) apabila sekali lagi mempamerkan kebangkitan meskipun dikejutkan sebaik babak kedua bermula.
Abdoul Ouattara meletakkan Strasbourg di depan pada minit ke-49 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan keputusan ofsaid hasil gerakan kapten mereka, Emanuel Emegha yang kerap mencetus masalah buat lawan.
Marseille tidak berputus asa apabila Pierre-Emerick Aubameyang mengikat kedudukan pada minit ke-78, menyambar bola muntah selepas percubaan awalnya gagal diselamatkan penjaga gol pinjaman Chelsea, Mike Penders.
Ketika aksi tampak berakhir seri, Murillo menghukum kelalaian tuan rumah pada masa kecederaan dengan menolak masuk bola lantunan selepas tandukan Robinio Vaz ditepis Penders ke palang.
Gol dramatik itu memastikan Marseille mengutip tiga mata berharga dan melonjak ke puncak liga, berkongsi 12 mata sama dengan Monaco, PSG, Lyon serta Strasbourg tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Momentum positif itu bukan sahaja meneruskan rentak kemenangan Marseille, malah memberi suntikan keyakinan menjelang aksi sulung Liga Juara-Juara Eropah menentang Ajax pada Rabu ini. – AGENSI