KEDUDUKAN tiga teratas menjadi sasaran pelumba berpengalaman Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil menjelang perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 esok.
Biarpun mengakui saingan kali ini lebih sukar dengan kehadiran ramai pelumba handalan, namun atlet berusia 30 tahun berkenaan menyuarakan keazaman untuk cuba menjejakkan kaki ke podium pada perlumbaan pertama itu.
Izzat yang akan beraksi di LTdL buat kali keenam berkata, kejayaannya menamatkan peringkat pertama tahun lalu di tempat ketujuh menjadi pembakar semangat bagi menamatkan perlumbaan hari ini dalam posisi lebih baik.
“Pada perlumbaan peringkat pertama tahun lalu, saya dapat tempat ketujuh, jadi tahun ini nak cuba buat lebih baik. Mungkin dapatkan kelompok lima teratas dan kalau ada rezeki, nak ke podium.
“Kalau tengok pada peringkat pertama, pencapaian tahun lalu membuatkan saya rasa lebih yakin. Saya akan cuba buat yang terbaiklah terutamanya jika ada pecut secara berkelompok,” katanya.
Tambah Izzat, daripada lima peringkat yang memiliki potensi persaingan secara berkelompok, dia merasakan dua perlumbaan termasuk di Langkawi dan Kemaman mampu memberi kelebihan kepadanya.
“Kalau tengok pada senarai laluan, peringkat pertama di Langkawi dan satu penamat di Kemaman ada peluang. Sekiranya ada aksi pecut berkelompok, saya hanya akan buat yang terbaiklah,” ujarnya.
Menjelang perlumbaan pertama hari ini mengelilingi Pulau Langkawi, para pelumba akan menempuh jarak 96.7 kilometer (km) melibatkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian sebelum tamat di Kuah. – KOSMO! ONLINE