PELUMBA berpengalaman negara, Mohd. Elmi Jumari sudah pun melupakan detik ngeri yang dialami tahun lalu bagi menampilkan aksi terbaik menjelang perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 esok.
Pelumba berusia 35 tahun itu sedia menjadikan perlumbaan pertama bagi edisi ke-39 tersebut sebagai sasaran kerana memasang impian untuk menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan.
Elmi berkata, dia akan cuba memberikan segala-galanya untuk memenangi perlumbaan peringkat pertama mengelilingi Pulau Langkawi dengan jarak keseluruhan 96.7 kilometer (km).
“Trauma itu memang sudah tidak ada kerana saya pun telah mengharungi beberapa perlumbaan sebelum ini. Sekarang saya sedang cuba untuk menyesuaikan diri dan dapatkan semula prestasi dahulu.
“Kalau boleh, memang nak menang peringkat pertama atau kedua kerana peringkat ketiga pendakian sudah bermula. Saya nak cuba pakai jersi hijau walaupun sehari,” katanya ketika ditemui di Pulau Langkawi semalam.
Pada edisi tahun lalu, Elmi berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan di peringkat kedua dari Arau ke Butterworth sehingga menyebabkan tulang jari telunjuk kanannya patah.
Bagi saingan kali ini, dia melakukan pengorbanan apabila menangguhkan untuk menjalani pembedahan bagi membolehkannya menyertai LTdL 2025.
Sementara itu, Elmi turut mengakui keputusan pasukan menyerahkan peranan kapten kepada Mohd. Shahrul Mat Amin turut meringankan bebannya selain percaya kredibiliti dimiliki rakan sepasukannya itu.
“Dia (Shahrul) lebih berpengalaman daripada saya kerana sudah menyertai LTdL sebanyak sembilan kali selain bekas pelumba TSG. Saya yakin dengan kemampuannya sebagai kapten dan beban saya juga semakin kurang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE