PASIR SALAK – Bermula lebih 100 tahun lalu, Labu Pulau Tiga menjadi produk kebanggaan negeri ini kerana kesenian dan kehalusan seni bunga tampalnya, tidak berpasir, mudah dibentuk dan tahan lebih lama yang membuatkannya berdiri pada kelas tersendiri.
Pengasas KNZ Kraf Enterprise, Norshima Abdul Aziz, 52 memaklumkan, teknik penghasilan Labu Pulau Tiga diperturunkan sejak zaman nenek moyangnya dari generasi ke generasi.
“Dahulu, ramai yang menghasilkannya untuk kegunaan sendiri kerana sumber tanah liat di Sungai Perak mudah didapati berbanding sekarang.
“Sejak mula dikomersialkan di premis sendiri pada awal 90-an, kami beralih kepada penggunaan tanah busut anai-anai 100 peratus,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Tanjung Bidara, Kampung Gajah di sini baru-baru ini.
Menurut ibunya, Rokiah Mat Isa, 73, tanah busut anai-anai berkualiti tinggi dan diperakui oleh seorang pakar agronomi dari Jepun yang pernah melawat kampung itu.
“Ia membuatkan produk dihasilkan tidak berpasir, mudah dibentuk dan tahan lebih lama dengan proses pembakaran sehingga lapan jam. Bahan mentah bukan masalah kerana tanah keluarga kami mempunyai banyak busut anai-anai semulajadi.
“Syaratnya bahagian dalam tanah sahaja diambil, permukaan busut akan ditolak ke tempat lain supaya koloni anai-anai sentiasa terjaga dan mampu berkembang seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Norshima memaklumkan produk yang dihasilkan seperti labu, pasu, bekas telur, mangkuk bertutup, tabung dan mini tepak dijual pada harga RM3 hingga RM400, membolehkannya menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
“Saya telah melakukan pendaftaran logo atau cap dagangan Labu Pulau Tiga menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia supaya jenama ini tidak disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.
“Sambutan cukup baik termasuk dari pelancong antarabangsa seperti Jepun, Australia, Britain, China, Jordan, Korea Selatan, Indonesia, Brunei dan Bhutan yang pernah datang membeli,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) atas bantuan geran sebanyak RM5,000 untuk memperkembangkan perniagaan, selain peluang untuk terlibat dalam pameran dan ekspo termasuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
“Selain itu, Tourism Perak pernah mempromosikan Labu Pulau Tiga menerusi media sosial sebagai salah satu produk tempatan untuk diperkenalkan di seluruh dunia.
“Pejabat Daerah Dan Tanah Kampung Gajah dan Majlis Daerah Perak Tengah turut membantu berkenaan infrastruktur seperti kemudahan awam iaitu jalan, tempat meletak kenderaan, utiliti dan promosi,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia yang disasarkan menjadi pusat institusi ilmu dan pertanian moden di samping mengekalkan kualiti alam persekitaran semula jadi serta warisan sejarah cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.