BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempersoalkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas membuat pusingan ‘U’ dengan menghukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM percaya FIFA selaku badan induk bola sepak dunia sudah meneliti semua dokumen yang diberikan sehingga tujuh pemain terbabit layak menyarung jersi skuad kebangsaan.
Namun, Khairy pelik selepas FIFA membuat keputusan untuk menghukum FAM dan semua pemain warisan baharu negara atas isu pemalsuan dokumen.
“Pelik. FIFA sudah pun memberikan kelulusan mengikut proses yang ditetapkan. Ini bermakna FIFA sudah meneliti semua dokumen dan menjalankan semakan sewajarnya sebelum membenarkan ketujuh-tujuh pemain itu beraksi untuk Malaysia.
“Mengapa mereka tiba-tiba mengubah keputusan sekarang? Siapa yang membuat aduan?,” kata Khairy menerusi laman Instagram peribadinya, hari ini.
Selain itu, Khairy yang kini menjadi penasihat Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berkongsi langkah pendaftaran pemain FAM (kelayakan melalui datuk/nenek – Artikel 7(a) FIFA) yang mana keputusan akhir adalah di tangan FIFA sendiri.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menerusi kenyataan rasmi FIFA, badan induk bola sepak antarabangsa itu memaklumkan FAM menyerahkan dokumen palsu bagi membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi untuk skuad kebangsaan.
Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).
Malah, lebih perit apabila pemain juga dikenakan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuatkuasa daripada notis dikeluarkan.
Namun, FAM dalam satu kenyataan balas menyatakan sedia untuk melakukan rayuan mengikut segala saluran perundangan yang ada bagi memulihkan semula maruah skuad kebangsaan. – KOSMO! ONLINE