fbpx
SHUKRI berharap Fadlan tidak berputus asa dengan karier lakonan kerana bakat yang dimiliki rakannya itu tiada pada pelakon lain. - FAISOL MUSTAFA

Jangan putus asa, Fadlan pelakon ‘rare’ – Shukri Yahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Menitipkan semangat, pelakon Shukri Yahaya berharap teman seperjuangan, Fadlan Hazim yang mahu berundur seketika dari bidang lakonan agar jangan berputus asa.

Shukri atau nama lengkapnya Mohd. Shukri Yahaya, 37, berkata, aktor tersebut mempunyai bakat luar biasa yang tiada pada penggiat seni lain.

“Jangan berputus asa. Teruskan perjuangan sebab bagi saya, dia (Fadlan) seorang pelakon yang sangat ‘rare’ (luar biasa).

“Bakat serta kebolehan (pakej) dimilikinya dalam bidang seni jelas terserlah dan tiada pada pelakon lain.

“Saya tak nampak pun kekurangan dia, cuma mungkin kita tak tahu apa yang dilaluinya,” kata Shukri ketika ditemui pada acara ‘watch party’ drama Rumah Tanpa Luka, baru-baru ini.

Begitupun, menurut Shukri yang sudah 14 tahun bergelar anak seni, dia menghormati pendirian Fadlan berhubung masa depannya.

“Biar apa pun pilihannya, kita kena hormat. Itu keputusan yang dibuat, pastinya sudah dipertimbangkan,” katanya.

Ditebak sama ada pernah berputus asa sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, Shukri berkata setakat ini dia belum terfikir untuk ‘angkat kaki’ meski industri dibanjiri ramai bakat baharu serta pempengaruh.

“Bidang ini punca rezeki saya, jadi tidak pernah lagi saya cepat patah semangat. Kalau dikritik saya akan cari kekurangan dan diperbaiki diri.

“Nak ikutkan cabaran memang banyak, tetapi saya tak pernah berasa tersisih atau tercabar dengan lambakan pelakon baharu.

“Dari dulu sampai sekarang, prinsip saya adalah menjaga kualiti hasil kerja selain pandai bawa diri di mana-mana tempat,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sebelum ini, Fadlan, 33, meluahkan ingin mengundurkan diri seketika daripada industri hiburan selepas merasakan bakatnya tidak diendahkan.

Aktor satu era dengan Shukri mendedahkan sudah penat memberikan sepenuh jiwa terhadap dunia lakonan namun tetap dikecewakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI