PETALING JAYA – Isu pemain warisan melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi perbincangan hangat di media sosial ketika ini.
Menerusi tinjauan di media sosial, rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tanah air mengharapkan penyelesaian terbaik berkaitan perkara tersebut.
Seorang pengguna Facebook menyifatkan ia sebagai hari yang gelap buat bola sepak Malaysia.
“Hari yang gelap untuk bola sepak negara, 10 hari untuk merayu. Kita tunggu siapa yang salah. FIFA atau FAM,” katanya menerusi ruangan komen dalam satu hantaran di Facebook.
“Memalukan, tarik diri daripada kelayakan dan Harimau Malaya digantung lima tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan. Zaman kejatuhan bola sepak Malaysia bermula,” kata seorang lagi individu.
“Sesungguhnya amat memalukan negara, pihak yang bersalah (jika ada) dalam perkara ini harus dihukum,” cadang seorang pengguna Facebook.
“Apa nasib pemain-pemain ini. Kalau betul 12 bulan gantung, main untuk kelab pun tak boleh,” kata seorang lagi netizen.
Kosmo! sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh FIFA selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Hasil semakan, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala pemain diarahkan membayar denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000). – KOSMO! ONLINE