MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sektor pelancongan mesti dibangunkan secara mampan, inklusif dan berdaya tahan agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Beliau berkata, prinsip itu selari dengan falsafah Malaysia Madani yang menekankan nilai kelestarian, belas ihsan, hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan dalam pembangunan negara.
“Kita tidak boleh mengejar pelancongan tanpa batasan, apa yang penting ialah pertumbuhan yang mengangkat komuniti, memelihara warisan dan melindungi alam sekitar.
“Antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pelepasan karbon pelancongan, khususnya daripada penerbangan yang menyumbang separuh daripada pelepasan langsung.
“Sehubungan itu, Malaysia sedang melakukan pelaburan besar dalam bahan api penerbangan mampan (SAF) dengan fasiliti pertama berasaskan biojisim yang dijadualkan siap pada 2027,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-7 di sini di sebuah hotel di Jalan Melaka Raya, hari ini.
Tambahnya, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Tourism and Sustainable Transformation’ merupakan satu seruan bersama untuk memastikan sektor pelancongan bukan sahaja berdaya saing tetapi turut menyumbang kepada kelestarian global.
Jelasnya, Malaysia merupakan antara 12 negara mega biodiversiti dunia mempunyai tanggungjawab besar melindungi hutan hujan, paya bakau dan terumbu karang yang menjadi tarikan utama pelancong.
Majlis berkenaan turut membuka tirai kepada kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dijangka membawa mesej pelancongan mampan, inklusif dan berdaya tahan kepada dunia. – KOSMO! ONLINE