PETALING JAYA – Seperti dijangka, pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces disisihkan oleh pasukan bagi mengharungi aksi La Liga menentang RCD Mallorca pada tengah malam ini.
Pengesahan itu dibuat oleh pengurusan kelab selepas menerima surat rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai hukuman terhadap Garces atas isu pemalsuan dokumen yang menggemparkan negara hari ini.
“Deportivo Alaves telah menerima surat rasmi mengenai hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA terhadap Garces.
“Susulan sekatan ini, Garces tidak disenaraikan dalam skuad untuk perlawanan La Liga menentang RCD Mallorca hari ini.
“Pihak pengurusan menganggap pemain (Garces) tidak bersalah dan percaya bahawa proses itu akan diselesaikan secepat mungkin,” kata kenyataan tersebut.
Selain Garces, FIFA telah menghukum enam lagi pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.
Kesemua pemain terbabit dihukum gantung 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan denda denda CHF2,000 (sekitar RM10,000).
Garces yang merupakan pemain kelahiran Argentina dianggap sebagai salah seorang tonggak utama Alaves pada kempen La Liga musim ini. – KOSMO! ONLINE