PETALING JAYA – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) menasihatkan orang ramai supaya tidak tidur di dalam kenderaan dengan enjin yang dihidupkan kerana boleh membawa maut.
Menerusi perkongsian di laman Facebook MJKR, berkata gas karbon monoksida yang tidak berbau dan tidak berwarna akan meragut nyawa tanpa disedari.
“Apabila enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang, kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke dalam kabin kenderaan.
“Gas karbon monoksida yang akan mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam tubuh lalu menyebabkan kerosakan organ,” ujarnya.
Seterusnya, kepekatan gas karbon monoksida yang tinggi dalam darah boleh menjadi ‘pembunuh senyap’ kepada pengguna jalan raya yang berehat.
Tegasnya, jika perlu berehat, keluar dari kenderaan dan cari tempat yang sesuai untuk berehat kerana nyawa lebih berharga dibandingkan keselesaan sementara. -KOSMO! ONLINE