fbpx
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul (kanan) ketika bertemu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (tengah) baru-baru ini.

FAM boleh heret kes ke CAS – AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai hukuman ‘berat’ yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas skuad Harimau Malaya.

Sebagai rekod, FIFA telah menghukum tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selepas terpalit isu pemalsuan dokumen.

Lebih malang, kesemua pemain itu beraksi pada dua saingan kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam, manakala hanya Hevel beraksi menentang Nepal dengan skuad Harimau Malaya melakar kemenangan bersih.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul mengesahkan pihaknya perlu menunggu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad mengenai keputusan perlawanan skuad kendalian Peter Cklamovski itu.

“Keputusan FIFA itu hanya berhubung dengan dokumen. Jadi sama ada pemain itu sah ataupun tidak bermain untuk Malaysia, ada satu lagi badan di FIFA iaitu Tribunal Bola Sepak yang memutuskan perkara itu.

“Sekarang kami (AFC) menunggu langkah seterusnya daripada FAM. Selepas FAM terima keputusan berhubung status pemain itu, FAM ada peluang untuk mengemukakan rayuan dan ada proses perundangan yang perlu diikuti.

“Kalau FAM tidak berpuas hati dengan Jawatankuasa Rayuan, FAM boleh membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana FAM ada hak untuk mempertahankan diri. Jadi sebab itu, kena tunggu hingga semuanya selesai.

“Ketika dalam proses rayuan, AFC tidak boleh mengambil sebarang tindakan. Hanya selepas FAM sudah selesikan proses perundangan, baru kami akan lihat implikasinya mengikut peraturan,” kata Windsor.

FAM dan tujuh pemain itu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI