LONDON – Pasukan Manchester United mengalami kekalahan ketiga musim ini selepas tewas mengejut 1-3 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Komuniti GTech itu, skuad The Red Devils yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Chelsea minggu lalu membariskan serangan terbaik menerusi gandingan Benjamin Sesko, Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha.
Namun, benteng United dikejutkan dengan serangan pantas The Bees yang meraih gol seawal minit ke-8 hasil penyudah berbisa Igor Thiago.
Penyerang dari Brazil itu terus mempamerkan bisa apabila menggandakan kelebihan tuan rumah dengan jaringan peribadi kedua pada minit ke-20.
Tersentak dengan gol tersebut, United memperkemaskan jentera serangan dan berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-1 hasil penyudah Sesko berselang enam minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, United melakukan asakan bertali arus sebelum dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76 tetap gagal disempurnakan oleh kapten, Bruno Fernandes.
Misi United untuk mencuri satu mata tidak kesampaian selepas Brentford meraih gol ketiga pada masa kecederaan hasil rembatan luar kotak yang dilakukan oleh Mathias Jensen.
Kekalahan tersebut menyaksikan United kekal dengan mengutip tujuh mata selepas enam perlawanan selepas merekodkan tiga kekalahan, dua kemenangan dan satu keputusan seri. – KOSMO! ONLINE