BEREGU campuran utama negara, Toh Ee Wei menegaskan kecederaan otot yang memaksanya menarik diri daripada Terbuka Korea tidak serius, malah yakin mampu pulih menjelang Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember depan.
Juara dunia itu berkata, dia hanya mengalami ketegangan pada bahagian otot kaki kanan (oblique muscle) dan kini menjalani latihan ringan bagi menilai tahap kecergasan.
“Tak ada koyak otot, saya hanya berehat dan buat latihan ringan minggu ini, manakala minggu depan kita lihat semula keadaannya.
“Saya juga tidak mengalami kecederaan belakang tetapi pada otot oblique,” kata Ee Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Menurutnya, kecederaan itu tidak menjejaskan fokusnya untuk menghadapi siri Eropah termasuk Terbuka Denmark dan Perancis, selain memastikan tubuhnya cergas sepenuhnya menjelang kejohanan penutup musim.
“Sudah tentu sempat (pulih), saya yakin masih ada masa dua ke tiga minggu untuk pulih dan teruskan persiapan,” ujarnya.
Bagi Ee Wei, kemenangan ke atas gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di China Masters baru-baru ini menjadi suntikan keyakinan untuk terus mencabar pasangan elit dunia.
“Kita anggap setiap perlawanan itu serius sebab perlu hormat lawan, jadi kita tidak pernah fikir untuk tenang, sebaliknya berlatih bersungguh-sungguh untuk kekalkan kualiti hingga ke Jelajah Dunia Akhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE