SERDANG – Seorang wanita warga Indonesia mendakwa diperdaya rakan senegara yang menawarkan pekerjaan sebagai pelayan restoran, namun akhirnya dipaksa bekerja sebagai tukang urut di sebuah premis di Seri Kembangan, di sini malam ini.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Cia, 25, berasal dari Medan berkata, dia mengenali rakannya ketika bekerja di sebuah kilang di Ipoh sebelum menerima tawaran kerja di Kuala Lumpur.
“Saya datang ke Malaysia pada 2020, kemudian seorang rakan menawarkan kerja sebagai pelayan restoran. Namun sebaik tiba, saya dibawa ke pusat urut.
“Saya tiada pilihan kerana terpaksa menanggung hutang dan kos perubatan ibu yang sakit jantung,” katanya ditemui Kosmo!.
Cia merupakan antara 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di beberapa pusat urut sekitar Lembah Klang yang dipercayai menawarkan khidmat tidak bermoral.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi itu melibatkan 72 pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan dijalankan secara serentak bermula pukul 5 petang.
“Dalam operasi itu, seramai 146 individu diperiksa terdiri daripada 60 warga asing dan 86 warga tempatan. Hasilnya, 86 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis serta seorang wanita warga Vietnam yang bertindak sebagai ‘kapten’ turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar Ops Gegar di lokasi serbuan malam ini.
Menurut Basri, terdapat warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi termasuk di bawah katil sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Beliau berkata, kesemua PATI berusia 21 hingga 31 tahun itu melibatkan 10 lelaki dan 76 wanita, dan mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA/Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak 19 saman turut dikeluarkan terhadap pelanggan tempatan yang berada di premis berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE