SEBERANG PERAI – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95) dan menyifatkannya sebagai langkah penjimatan berkesan dalam pekerjaan harian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, beliau akan menggunakan manfaat yang diberikan kerajaan kepada rakyat itu dengan sebaik mungkin.
“Kami akan guna kesempatan ini dengan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Ini merupakan langkah berkesan, membantu penjimatan dalam pekerjaan seharian,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, anggota askar wataniah, Sarjan Muhammad Azizi Idris, 36,memberitahu, dia bersyukur dengan sumbangan yang diberikan kerajaan dalam membantu menangani kos sara hidup rakyat.
“Terima kasih atas sumbangan (Budi95) yang diberikan kepada penjawat dan rakyat. Ini membuktikan kerajaan telah menzahirkan janjinya dan berusaha membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar,” ujarnya.
Bagi Penolong Ketua Balai Polis Jelutong, Sarjan Mejar Herman Deng pula berkata, kaedah yang diguna pakai di stesen minyak didapati sangat mudah serta menjimatkan masa.
“Segalanya berjalan lancar tanpa perlu beratur di kaunter. Bagi kami yang sering mengejar tugasan, kemudahan seperti ini amat diperlukan,” katanya ketika ditemui di stesen minyak Shell di Jelutong, di sini hari ini.
Hari ini, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95 yang mula dilaksanakan tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE