fbpx
BERGSON

Bergson anggap diri belum sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH beberapa kali tiada dalam kesebelasan utama, Bergson Da Silva mengganas apabila meledak hatrik membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Bangkok United 4-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.

Ia adalah hatrik kedua berturut-turut pemain kelahiran Brazil itu selepas membelasah Sabah FC dalam aksi Liga Super minggu lalu.

Bagi Bergson, ia adalah satu kepuasan buat dirinya apabila memainkan peranan penting buat Harimau Selatan selain memberikannya keyakinan untuk beraksi dengan lebih baik.

Penyerang berusia berusia 34 tahun itu bertekad untuk bekerja lebih keras untuk merebut tempat dan menjadikan JDT sebuah pasukan yang lebih baik.

“Sejujurnya, saya tidak memikirkan soal berita yang ditulis mengenai saya ketika menjaringkan gol atau tidak. Perkara pertama terlintas di fikiran adalah untuk membantu rakan sepasukan di atas padang.

“Sebagai pemain, saya perlu mencabar kemampuan diri dan menjadi pilihan ketua jurulatih. Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tidak, fokus saya adalah untuk membantu pasukan,” katanya.

Bergson yang sudah bersama JDT sejak 2021 melakar sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan, mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin( 106 gol).

“Saya tidak terlalu memikirkan soal rekod sejak awal musim ini, saya cuma fokus terhadap karier bersama kelab yang sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Saya sangat gembira berada di sini dan mahu terus memberi yang terbaik,” katanya.

Pengendali JDT, Xisco Munoz memuji ledakan hatrik Bergson dan menyifatkan penyerang itu sebagai kekuatan besar kepada pasukan.

“Saya tahu keupayaan Bergson, dia bukan setakat cemerlang menjaringkan gol, namun saya yakin dia boleh memberi kami lebih banyak lagi untuk pasukan.

“Dia bekerja keras setiap hari, memberi impak kepada pasukan dan dia boleh lakukan lebih daripada itu. Bergson bukan sahaja peledak berbisa, namun mampu menjadikan gandingannya di bahagian jentera serangan turut menonjol,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI