KAJANG – Seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, nahas melibatkan sebuah Nissan X-Trail, Honda City, Proton X70 dan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan barangan lusuh.
Penolong Pengarah Operasi Bomba, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dengan kekuatan enam anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
“Setibanya di lokasi, terdapat sembilan mangsa terlibat. Seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar setahun tersepit di bawah Nissan X-Trail dan berjaya dikeluarkan pada pukul 11.30 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan.
“Seorang lelaki dewasa yang turut tersepit di bawah kenderaan sama berjaya dikeluarkan pada pukul 11.20 pagi sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tujuh lagi mangsa yang identiti mereka belum dikenal pasti mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan sebelum ketibaan bomba. – KOSMO! ONLINE