KUALA TERENGGANU – Hari pertama pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95) di Terengganu hari ini berjalan lancar dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan terawal menikmati manfaat itu.
Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati sistem berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan manakala pengguna hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melengkapkan transaksi pembelian petrol.
Salah seorang pengguna terawal, Asisten Superintendan Zulfadli Zulkifli berkata, proses pembelian petrol di stesen minyak berjalan pantas dan lebih mudah dengan sistem baharu itu.
“Semuanya berjalan dengan baik cuma saya nampak stesen minyak besar lebih mudah sebab semua pamnya dilengkapi kemudahan terminal pengesahan MyKad.
“Ia lebih menjimatkan masa. Saya nampak tiada masalah dari segi sistem, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika di salah sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Seorang lagi anggota polis, Mohammad Asyraf Mohammad Fetri turut berpuas hati walaupun mengakui segelintir kakitangan stesen minyak sedikit keliru memandangkan ia hari pertama dilaksanakan.
“Bagi saya proses itu mudah dan cepat sahaja cuma mungkin ini hari pertama, segelintir jurupam masih sedikit keliru hendak guna macam mana,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Mariam Abu Hassan pula menghargai kerajaan kerana memberi peluang anggota PDRM dan ATM menjadi antara golongan terawal menggunakan Budi95. – KOSMO! ONLINE