KUALA LUMPUR – Tiga premis pusat kecantikan di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh di sini diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing.
Menerusi hantaran di laman Facebook DBKL, penutupan tiga premis itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, operasi itu menyasarkan premis perniagaan tanpa lesen dan yang terbabit dengan penyalahgunaan syarat lesen premis selain dikendalikan warga asing.
“Hasil tindakan bersama ke atas 11 premis, sejumlah 17 notis kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya adalah berkaitan pemilik perniagaan menggajikan warga asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya.
Menurut DBKL, pada operasi yang sama, Imigresen telah menahan 17 warga asing dengan kesemuanya dibawa ke depoh tahanan bagi tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, pihak KPDN turut membuat pemeriksaan terhadap 24 premis berkaitan pemantauan tanda harga, penggunaan alat timbang sukat, dan paparan notis jualan murah,” katanya.
Jelasnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan operasi bersepadu dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti dalam melaksanakan Tindakan Khas Premis ke Atas Premis Perniagaan Siri 10/2025. – KOSMO! ONLINE