BACHOK – Saksi kejadian terkejut melihat keadaan kepala seorang kanak-kanak pecah dengan berlumuran dadah selepas bapa saudaranya memukul mangsa bertubi-tubi dengan sebatang tukul di dalam bilik di tingkat atas sebuah rumah kedai di Jelawat, di sini semalam.
Muhammad Naim Muhammad Zamari, 29, berkata, dia yang berada berhampiran kawasan rumah kedai itu bergegas naik ke tingkat atas selepas terdengar jeritan meminta pertolongan kira-kira pukul 5 petang.
Menurutnya, dia terkejut selepas melihat mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, berada dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya pecah dan berlumuran darah.
“Ibu saudara mangsa yang merupakan isteri suspek sedang tidur di sebuah bilik yang lain. Wanita itu tersedar selepas terdengar bunyi bising semasa kejadian berlaku.
“Selepas memukul mangsa, suspek terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal. Melihat keadaan mangsa dengan keadaan kepalanya yang pecah dan berlumuran darah, saya terus menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Naim memberitahu, bapa mangsa yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian membawa kanak-kanak itu dengan kereta untuk rawatan lanjut di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dekat sini.
Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 50, memberitahu, sebelum kejadian, suspek dipercayai memarahi anak saudaranya yang membuat bising sebaik pulang dari sekolah.
“Anak kepada suspek juga sedang tidur di dalam rumah kedai itu. Difahamkan, suspek tidak tidur selama empat hari lalu dan dia juga dikatakan sudah kehabisan wang sehingga tidak boleh membeli bekalan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE