fbpx
Azalina (tengah) ketika menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Pulau Pinang dan Perak di SJKC Aik Hua, Bayan Lepas, hari ini.

Sesi townhall anti buli libatkan pelajar sekolah rendah hingga universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kerajaan akan memperluas sesi libat urus khas melalui townhall bersama pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti bagi mendengar sendiri pandangan mereka dalam usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi berkenaan akan memberi ruang kepada pelbagai lapisan pelajar menyuarakan pandangan dan pengalaman mereka mengenai isu buli.

“Ini mungkin pertama kali kita akan buat sesi townhall yang akan melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan juga mahasiswa di universiti. Kita mahu dengar suara mereka kerana isu buli memberi kesan kepada semua peringkat umur.

“Kita sudah mendengar suara guru, pengetua dan ibu bapa, kini tiba masanya untuk mendengar pula daripada anak-anak. Pandangan mereka akan memberikan perspektif baharu yang amat berharga,” katanya selepas menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Pulau Pinang dan Perak di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua, Sungai Ara di sini, hari ini.

Sesi townhall dan konsultasi awam itu sedang dijalankan bagi membentuk RUU Tribunal Anti-Buli yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.

Menurut Azalina, sesi bersama pelajar universiti dijangka diadakan pada Oktober ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kita akan bawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelajar, universiti-universiti serta persatuan mahasiswa untuk bersama dalam sesi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN