KUALA LUMPUR – Hanya kerana meminta wang sebanyak RM5, seorang wanita berkongsi kisah sedih di Threads apabila ditinggalkan kekasihnya selepas hampir tujuh bulan menjalinkan hubungan.
Menerusi hantaran tersebut, wanita dikenali sebagai Miey menceritakan bahawa kejadian berlaku ketika dia dan lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Port Dickson setelah selesai menghadiri kenduri kahwin rakan mereka.
Katanya, dia hanya berniat meminta RM5 untuk membeli air di sebuah gerai bersebelahan dengan stesen minyak.
“Singgah isi minyak kereta, tetiba rasa dahaga minta la dekat si dia RM5 sebab aku memang tak ada cash (tunai). Tapi dia terus marah-marah katanya aku menyusahkan dia.
“Aku hanya nak beli air, tak nak bagi boleh cakap elok-elok. Dari situ jadi gaduh sampai dia cakap tak mahu teruskan hubungan. Sebabkan RM5 aku kena tinggal,” luahnya.
Perkongsian itu pantas meraih perhatian ramai pengguna Threads yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib wanita tersebut.
Ada yang menasihatinya supaya melihat kejadian itu dari sudut positif kerana mungkin ia petunjuk awal mengenai sikap sebenar lelaki tersebut.
“Kalau RM5 pun dia tak boleh toleransi, macam mana nak harap untuk benda lebih besar nanti? Awak patut bersyukur hubungan itu putus awal,” komen Ashikin.
“Tak apalah dik, baru tujuh bulan bercinta sekurangnya kau dah nampak betapa kedekutnya lelaki tu. Akak dah kahwin baru nampak benda ini. Agak-agak boleh lagi undurkan diri ka?,” kongsi seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE