KUANTAN – Polis Pahang akan mengagihkan 1,000 kotak makanan inisiatif Madani Prihatin kepada pelbagai ketegori penerima di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada pesara polis, pengantin baharu, ibu atau bapa tunggal, balu dan orang kurang upaya (OKU).
Tambah beliau, sumbangan itu akan turut diagihkan kepada golongan asnaf, pesakit terlantar, mualaf, keluarga yang mempunyai lima orang anak atau lebih, individu berpendapatan di bawah kadar purata 40 peratus serta pekerja pembersihan.
“Setiap kotak makanan Madani Prihatin bernilai kira-kira RM100 itu mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan keperluan harian lain.
“Saya yakin sumbangan ini akan memberi manfaat besar kepada penerima bukan sekadar dalam bentuk barangan makanan asas, tetapi juga sebagai simbol harapan dan tanda bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi cabaran hidup,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada majlis penyerahan kotak makanan Madani Prihatin di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Alor Akar di sini hari ini.
Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Dr. Sim Chon Siang, mewakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi. – KOSMO! ONLINE