PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam penghargaan kepada kerajaan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal perang tentera laut bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menghampiri Semenanjung Gaza.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menegaskan sokongan itu menunjukkan solidariti dunia terhadap usaha kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza yang terus bergolak.
“Semoga kekuatan dan kecekalan bersama kalian. Dunia mendukung terus!” tulis beliau.
Konvoi GSF yang disertai sukarelawan antarabangsa membawa misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan cabaran termasuk serangan dron Israel baru-baru ini.
Seramai 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.
Kebanyakan kapal pelayaran GSF dilaporkan telah pun memasuki zon kuning menuju ke Gaza serta dijangka berdepan dengan sebarang kemungkinan ancaman daripada Zionis. – KOSMO! ONLINE