SABAK BERNAM – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori yang terbabas di Batu 3, Jalan Sepintas-Bagan Terap di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang datang dari arah Sepintas menuju ke Bagan Terap dipercayai hilang kawalan.
“Lori itu kemudian terbabas ke sebelah kanan jalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada waktu itu, sebuah motosikal tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan kenderaan tersebut,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Shaifuddin Mohd. Nor di talian 017-6645812 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE