fbpx
Gambar hiasan

Penat gali, tutup lubang nak bayar hutang BNPL RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita berusia 25 tahun mendedahkan dirinya terjerat dengan beban hutang mencecah hampir RM25,000, selepas terjebak dalam skim ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL).

Menurut hantaran di Thread, wanita itu berkata semuanya bermula ketika dirinya memperoleh gaji sebanyak RM5,000 sebulan sebelum berkahwin.

“Disebabkan kejutan budaya, saya mula rasa seronok berbelanja. Saya tidak sedar bahawa setiap pinjaman yang diambil akan menjejaskan skor kredit.

“Lebih malang, ketika saya mohon pinjaman kereta, saya mohon di banyak tempat, dan tiga bank luluskan sekali gus. Dari situ, skor kredit saya jatuh ke tahap paling rendah,” katanya.

Keadaan bertambah buruk selepas wanita itu berkahwin tiga tahun lalu dan mengalami masalah kesihatan semasa hamil.

Disebabkan wanita tersebut kerap tidak hadir bekerja, dia akhirnya diberhentikan kerja sekali gus hilang sumber pendapatan tetap dan mula mengambil pinjaman kecil untuk menampung komitmen sedia ada.

“Ibarat gali lubang tutup lubang. Saya tak sedar makin lama makin bertambah beban hutang. Masa itu, saya hanya fikir nak teruskan hidup dan bayar komitmen semampu mungkin,” luahnya.

Kini, wanita itu bekerja semula dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan dan jika digabungkan dengan gaji suami, pendapatan bulanan mereka hanya sekitar RM3,000.

Katanya, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan bersama dua anak kecil selain melunaskan hutang.

Antara senarai hutang yang ditanggung wanita itu termasuklah Boost sebanyak RM6,000 (dengan tunggakan RM3,000), SPayLater RM2,000, Sloan RM2,000, Courts RM800, syarikat pinjaman wang RM5,800, Touch ‘n Go RM1,000, Atome RM100 serta pinjaman bank sebanyak RM5,200.

Wanita itu turut mengakui banyak tunggakan sudah berlarutan sehingga dua hingga tiga bulan, dan ada kalanya terpaksa menangguhkan bayaran kerana perlu mendahulukan kos sewa rumah serta perbelanjaan anak-anak.

“Sekarang saya betul-betul buntu. Pendapatan suami pun digunakan untuk keperluan asas dan dia turut buat Grab selepas kerja hakiki. Tapi tetap tidak cukup kerana hutang lebih besar daripada gaji kami,” katanya.

Menurut wanita itu lagi, dia sedar kesilapan yang dilakukan kerana gagal mengawal kewangan sejak awal.

Walaupun begitu, dia berlapang dada menerima segala kecaman orang ramai dan menganggap itu sebagai pengajaran besar dalam hidup.

“Saya tahu saya silap, saya memang tak pandai kawal kewangan. Saya terima kata-kata negatif dengan hati terbuka. Apa yang saya harapkan sekarang, orang ramai doakan saya supaya dapat keluar dari masalah ini,” katanya.

Sementara itu wanita tersebut berkata dirinya masih belum sempat mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana kekangan masa bekerja, namun berhasrat untuk membuat temu janji dalam masa terdekat.

“Saya kerja cuti sehari sahaja seminggu, itu pun Ahad. Jadi agak susah nak uruskan untuk ke AKPK. Tapi insha Allah, saya akan cuba secepat mungkin,” tambahnya.

Kisah wanita ini telah menarik perhatian netizen di media sosial, ada yang mengecam sikap boros serta kurangnya kesedaran mengurus kewangan, namun tidak kurang juga yang bersimpati dan memberikan kata-kata semangat.

“Bertabahlah, sendiri dah pinjam apa-apa pun terpaksa hadap. Saya doakan akak diberi jalan kemudahan,” komen Hisham.

Beberapa pengguna turut menasihatkan beliau supaya segera mendapatkan bimbingan AKPK bagi menyusun semula pembayaran hutang, selain mencari sumber pendapatan tambahan secara berterusan bagi mengurangkan beban kewangan.

“Akak pergi je AKPK, selesai semuanya. Selepas itu AKPK akan sekat semua kemudahan untuk akak terjebak lagi dalam pinjaman macam ini,” komen Siti pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN