LJUBLJANA. Slovenia – Kerajaan Slovenia semalam mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai persona non grata atau orang yang tidak diingini, lapor agensi brita Anadolu.
Menurut pengumuman kerajaan selepas mesyuarat Kabinet, pengisytiharan itu melarangnya memasuki Slovenia.
Setiausaha Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Eropah, Neva Grasic berkata, keputusan dibuat susulan prosiding yang sedang berlangsung terhadap Netanyahu berhubung jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
“Tindakan ini bukan ditujukan kepada rakyat Israel, tetapi memberi mesej jelas kepada Tel Aviv bahawa Slovenia menghormati penuh keputusan mahkamah antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Grasic kepada wartawan.
Menurutnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memutuskan pada Julai tahun lalu bahawa dasar dan amalan Israel melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Grasic berkata, Slovenia mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf atau menyumbang kepada mengekalkan situasi haram yang berpunca daripada kehadiran tidak sah Israel di wilayah Palestin.
Beliau turut merujuk kepada laporan 16 September 2025 oleh Suruhanjaya Penyiasatan Bebas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza yang menyimpulkan tindakan Israel merupakan pembunuhan beramai-ramai.
“Ini adalah kali pertama PBB menggambarkan tindakan Israel di Gaza bersifat genosid,” katanya.
Kerajaan Slovenia sebelum ini mengisytiharkan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich sebagai persona non grata pada Julai lalu.
Mereka dituduh menghasut keganasan dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius melalui kenyataan berunsur genosid.
Seiring dengan tindakan terhadap Netanyahu, Slovenia turut meluluskan sumbangan berjumlah €1.2 juta (RM5.9 juta) bagi menyokong kelancaran pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA). – AGENSI