SHAH ALAM – Menteri Kesihatan diminta menjelaskan berhubung pihak yang membenarkan seorang pegawai perubatan menjalankan bedah siasat ke atas pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada 29 Julai lalu.
Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, beliau telah menghantar surat permohonan penjelasan tersebut, kelmarin pihaknya tidak menerima jawapan daripada Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Saya ada hantar surat kepada Pakar Forensik HSI untuk pengesahan siapa beri arahan? Adakah doktor (daripada HSI) memberi arahan kepada pegawai perubatan itu datang ke HSI untuk menjalankan post mortem (bedah siasat).
“Surat juga dihantar kepada Pengarah HKT namun malangnya tiada jawapan, jadi Menteri Kesihatan kena jawab perkara ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan lobi Mahkamah Shah Alam hari ini.
Jelas Naran, Ummu Haiman membantah bedah siasat dilakukan pegawai perubatan berkenaan kerana mahu ia dikendalikan oleh pakar forensik, namun bantahan itu tidak dipatuhi.
“Doktor itu dari HKT, tetapi tetap jalankan post-mortem di HSI dengan dibantu seorang lagi doktor dari HSI walaupun ibu Allahyarham sudah minta hanya pegawai forensik lakukannya. Persoalannya, siapa beri kuasa kepada pegawai perubatan itu?” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Syamsul Haris dikatakan meninggal dunia akibat kekejangan otot sekitar pukul 4 petang pada 28 Julai lalu ketika menyertai latihan bersama pasukannya. – KOSMO! ONLINE