JAKARTA – Lebih 1,000 murid jatuh sakit selepas menikmati makan tengah hari percuma di sekolah minggu ini dalam insiden keracunan makanan terbaru yang dikaitkan dengan program makanan berzat di bawah inisiatif Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Ketua Pusat Kesihatan Komuniti Cipongkor, Yuyun Sarihotima berkata, jumlah murid yang mengalami keracunan makanan antara Isnin hingga Rabu mencecah 1,258 orang termasuk 800 murid di wilayah Jawa Barat dan Sulawesi Selatan pada minggu lalu.
Prabowo berjanji untuk menyediakan makanan berzat percuma kepada 80 juta murid sekolah dan wanita mengandung dalam kempen pilihan raya lalu.
Insiden keracunan makanan yang berulang mendorong pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan menggesa pihak berkuasa untuk menangguhkan program tersebut atas faktor kesihatan.
Murid yang menikmati makanan percuma yang disediakan mengalami simptom termasuk sakit perut, pening, loya serta sesak nafas.
Ketua Badan Pemakanan Nasional (BGN) Indonesia, Dadan Hindayana berkata, keracunan makanan secara besar-besaran di Cipongkor minggu lalu berpunca daripada kesilapan teknikal oleh Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan (SPPG).
“Dapur SPPG di Cipongkor telah digantung operasi,” katanya.
Kira-kira 4,711 kes keracunan makanan direkodkan bermula Januari sehingga 22 September lalu dengan kebanyakannya berlaku di Pulau Jawa, demikian menurut BGN. – AGENSI