PUTRAJAYA – Siasatan teknikal Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkenaan gangguan elektrik yang tercetus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini mendapati disebabkan kewujudan arus edaran (circulating current).
Difahamkan, arus itu terhasil di sepanjang laluan kabel di antara Pencawang 33kV yang membekalkan kuasa ke KLIA2 dengan pencawang-pencawang 11kV di terminal.
Menurut Kementerian Pengangkutan, keadaan itu menyebabkan pemanasan setempat pada penamatan kabel sehingga berlakunya insiden ‘flashover’.
“Selain itu, faktor rintangan tanah yang tinggi turut menyumbang secara tidak langsung dengan menghalang pelepasan arus ke bumi secara berkesan, sekaligus meningkatkan tekanan haba pada kabel pelindung (sheath wires),” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kelmarin, Jemaah Menteri telah mengambil maklum laporan teknikal yang disediakan MAHB
berhubung insiden gangguan bekalan elektrik di KLIA2 dengan fokus utama kerajaan bagi memastikan insiden itu ditangani segera dengan langkah pencegahan berkesan.
Mengulas lanjut, Kementerian Pengangkutan berkata, MAHB turut mengesahkan tiada operasi kritikal lapangan terbang yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Susulan itu, pasukan teknikal MAHB telah melaksanakan langkah-langkah segera antaranya membaiki semua penamatan kabel dan memasang sarung pembatas voltan di lokasi pendawaian silang (cross bonding) untuk mengurangkan kesan arus edaran.
“Penilaian dan konfigurasi semula pemasangan pembumian turut dilaksanakan selain menambah baik rejim penyelenggaraan dengan menggabungkan ujian separa nyahcas dan pemeriksaan termografi ke dalam pelan penyelenggaraan pencegahan kabel kuasa,” katanya.
Bagi langkah penambahbaikan jangka panjang pula, MAHB turut mengenal pasti tindakan sesuai seperti mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan sistem Automatic Transfer Switch (ATS) bagi mempercepatkan bekalan kuasa sokongan.
“Ia turut melibatkan peningkatan penggunaan generator bagi melindungi lebih banyak perkhidmatan kritikal selain memendekkan jadual penyelenggaraan Planned Preventive Maintenance untuk ujian beban genset di Gateway@klia2.
“Tempoh itu daripada tiga bulan kepada dua bulan sekali bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta pengesanan awal insiden flashover,” katanya.
Kementerian Pengangkutan juga akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah susulan oleh MAHB bagi memastikan tahap keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem di KLIA sentiasa berada pada tahap terbaik. – KOSMO! ONLINE