BACHOK – Polis menahan isteri kepada seorang lelaki yang menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.
Menurutnya, selain itu, ibu saudara mangsa itu turut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Wanita itu ketika ini berada di mahkamah untuk prosiding reman, manakala mangsa masih dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
“Pemeriksaan awal pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul dipercayai tukul,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Azrie memberitahu, siasata lanjut mendapati, suspek utama berusia 46 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa bertindak melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal selepas kejadian.
Menurutnya, lelaki itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di kawasan Pantai Melawi di sini kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
“Sasatan awal mendapati, suspek dipercayai menghadapi masalah halusinasi dan pernah mempunyai sejarah kes penyalahgunaan dadah.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Unit HPUSM untuk proses bedah siasat dan kes kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini, manakala mangsa berada dalam keadaan kritikal. – KOSMO! ONLINE