KUALA LUMPUR – Jaguh lumba berhalangan negara, Saddam Pittli akan mengetuai cabaran Malaysia menjelang kejohanan Spartan Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Gamuda Cove pada 18 dan 19 Oktober depan.
Memiliki reputasi sebagai pemenang pingat pada temasya Sukan SEA, atlet berusia 34 tahun itu diletakkan sebagai sandaran utama bagi memastikan Malaysia mencatat pencapaian cemerlang.
Apa yang menarik, mengiringi Saddam pada edisi kali ini adalah anaknya, Syahid Al Zahran yang dijangka menyertai Spartan Kids.
Saddam menganggap penyertaan kali ini lebih bermakna kerana bakal menjejakkan kaki ke medan perjuangan bersama anaknya, sekali gus mampu menjadi pencetus inspirasi kepada orang lain.
“Penyertaan kali ini lebih bermakna kerana saya bukan sahaja membawa cabaran negara tetapi turut berkongsi trek dengan Syahid. Saya mahu tunjuk bahawa Spartan bukan sahaja tentang persaingan, malah turut membina ketahanan diri dan keluarga.

“Spartan mengajar kita untuk bangkit setiap kali jatuh. Itu juga nilai yang saya mahu Syahid belajar dan peseta lain belajar. Perlumbaan ini akan menguji dan memberi inspirasi,” katanya.
Sebagai rekod, Saddam memiliki rekod cukup cemerlang apabila sudah menyertai 32 perlumbaan Spartan dengan jarak sejauh 300 kilometer (km) selain meraih dua Trifecta, iaitu pencapaian yang memerlukan disiplin tinggi.
Sementara itu, Syahid menyuarakan rasa teruja dan tidak sabar untuk turun ke gelanggang bersama ayahnya bagi mencabar kemampuan diri.
Spartan Malaysia kali ini tampil dengan status Trifecta Weekend Kuala Lumpur yang memberi peluang kepada peserta menyempurnakan tiga kategori utama, iaitu Sprint (5km/20 halangan), Super (10km/25 halangan) serta Beast (21km/30 halangan).
Peserta muda pula bakal diuji dalam saingan Spartan Kids 1 hingga 3km, manakala penggemar cabaran ekstrem boleh menyertai Hurricane Heat 4-Hour, iaitu ujian berpasukan yang menuntut ketahanan mental dan fizikal. – KOSMO! ONLINE