PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar mengambil alih sepenuhnya Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, selaku badan induk bola sepak Malaysia, FAM bertanggungjawab untuk menguruskan NFDP.
Malah, beliau memberitahu, FAM sudah bersedia memacu pelaksanaan NFDP ke peringkat lebih tinggi bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.
Walaupun berdepan beberapa kekangan dan cabaran termasuk soal dana, FAM sudah bersedia mengambil alih NFDP jika diminta berbuat demikian.
“Sebagai badan induk, FAM sudah cukup bersedia memainkan peranan lebih besar demi pembangunan akar umbi bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa pembangunan bola sepak adalah tugas FAM dan bukannya kerajaan.
Malah, katanya lagi sistem itu telah diguna pakai di seluruh di dunia.
“Sememangnya pembangunan bola sepak di bawah FAM. Kita tidak boleh ada dua entiti urus perkara sama, nanti jadi tak selari,” katanya.
Pada Khamis lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, NFDP wajar kekal dikendalikan MSN, sambil beliau menegaskan FAM tidak boleh mengharapkan dana kerajaan jika mahu mengambil alih program tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, beliau menerima setiap pandangan dan teguran daripada mana-mana pihak demi kebaikan arena bola sepak Malaysia.
“Segala kritikan itu boleh dijadikan panduan untuk kita tambah baik NFDP. Apa yang penting kita sama-sama mendapat input positif bagi meningkatkan mutu dan kualiti NFDP,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE