TELUK INTAN – Lelaki yang diberkas selepas dikejar polis sejauh lebih 60 kilometer sehingga mencetuskan insiden tembakan dan cubaan melanggar anggota keselamatan di Behrang Ahad lalu, menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Ameerul Asraf Mohd. Saipul, 35, gagal mengawal emosi sebaik sahaja dibawa masuk ke mahkamah dan duduk di kandang pesalah sehingga terpaksa ditenangkan oleh isteri dan peguamnya.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan cubaan membunuh empat anggota polis.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu dakwa telah melakukan perbuatan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd. Azizul Yahya, Muhammad Lokman Nulhakim Mahdhir, S. Muniya Kaunden dan Noor Azam Man.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut berhampiran Stesen Minyak Petron, Hentian Rehat Behrang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Muallim pada pukul 11 pagi, 20 September 2025.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh mengambil kira keseriusan kes yang dihadapi lelaki itu.
Bagaimanapun, peguam Nur Shaqira Ibrahim memohon agar anak guamnya diberi kebenaran untuk diikat jamin atas alasan tertuduh yang tidak mempunyai pendapatan tetap merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai lima anak berusia dua hingga sembilan tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan. – KOSMO! ONLINE