WASHINGTON – Bilionair Malaysia, Ong Beng Seng didakwa membeli sebuah kapal mewah yang sebelum ini dimiliki oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin, lapor portal berita VnExpress kelmarin.
Kapal layar itu disenaraikan pada harga AS$31.7 juta (RM134 juta), tahun lalu.
Menurut pihak yang mengetahui perkara itu, pembelian tersebut telah dibuat tetapi butiran lanjut mengenai pembeli tidak didedahkan.
Harga sebenar transaksi itu juga tidak dinyatakan.
Dokumen pemfailan menunjukkan kapal layar yang kini dinamakan Capricorn itu telah dipindahkan kepada sebuah syarikat pegangan baharu pada akhir Oktober 2024, namun nama pemilik sebenar tidak dinyatakan.
Pada awal bulan yang sama, Ong telah didakwa dalam satu skandal politik yang menggemparkan Singapura dan dilarang meninggalkan negara itu tanpa kebenaran mahkamah.
Semasa lawatan yang diluluskan mahkamah, jadualnya termasuk kunjungan ke kapal layar mewah itu, tetapi tidak jelas sama ada beliau benar-benar menaiki atau tidak kapal tersebut.
Bulan lalu, Ong disabitkan kesalahan bersubahat menghalang perjalanan keadilan.
Ong dikenakan denda kira-kira AS$23,000 (RM97,000) tetapi terlepas hukuman penjara selepas hakim menyatakan, keadaan kesihatan taikun tersebut memerlukan belas ihsan, manakala hukuman penjara boleh membahayakan nyawanya.
Beliau yang dianggap sebagai orang yang membawa perlumbaan Formula 1 ke Singapura, bersama isterinya Christina, mengendalikan Hotel Properties. Syarikat itu memiliki hotel utama di seluruh dunia termasuk Concorde Hotel di New York dan Four Seasons di Singapura.
Pasangan itu juga memegang pegangan majoriti dalam jenama beg tangan mewah Britain, Mulberry.
Tahun ini, Forbes meletakkan mereka di tangga ke-26 dalam senarai 50 individu terkaya Singapura dengan nilai kekayaan gabungan bersih AS$2.15 billion (RM9 bilion).