KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Sungai Ramal, Mohd. Shafie Ngah hari ini membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan berhubung kenyataan berunsur fitnah yang mendakwanya menyokong ideologi komunis.
Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Mohd. Shafie mengakui bahawa semua dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang merit.
“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada Syahredzan.
“Sehubungan itu, saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata, untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau yang berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk atau cara,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shafie turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Februari 2024, telah mengeluarkan suatu injunksi interim yang menyekat beliau daripada membuat sebarang kenyataan-kenyataan serupa atau kenyataan-kenyataan selanjutnya yang bersifat fitnah terhadap Syahredzan yang juga peguam.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakan saya dan secara komited untuk memastikan bahawa saya akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat dan berintegriti pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Syahredzan berkata, dengan penyelesaian kes saman itu, sewajarnya tidak ada lagi pertikaian peribadi antara beliau dan Mohd Shafie.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya iaitu Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap atas khidmat mereka dalam kes ini,” katanya.
Terdahulu pada 22 September lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes membabitkan kedua-dua ahli politik itu.
Kenyataan fitnah itu didakwa dibuat pada 25 Oktober 2022, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta antara 8 Julai hingga 12 Julai 2023, menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor.
Susulan penghakiman tersebut, Mohd. Shafie selaku defendan diarahkan menerbitkan permohonan maaf di dua akhbar nasional serta di semua laman media sosialnya, termasuk Facebook yang dikaitkan dengan Mohd .Shafie, Pas Bangi dan Perikatan Nasional Parlimen Bangi. – KOSMO! ONLINE