PETALING JAYA – Seramai 30 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sg. Way, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, mereka yang ditahan berusia 18 hingga 40 tahun terdiri daripada warga Thailand, Laos, Vietnam dan Myanmar.
Menurutnya, dalam serbuan bermula pukul 10 malam itu, pihaknya berdepan dengan provokasi daripada orang awam disyaki pelangan tetap, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Terdapat beberapa wanita warga asing yang ditemui menyorok selain cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Namun, dengan kecekapan pegawai penguat kuasa, lokasi persembunyian dapat dikesan dan wanita warga asing berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairrul Aminus berkata, pihaknya mendapati terdapat sindiket atau ejen yang menguruskan kemasukan wanita warga asing itu ke negara ini termasuk menyediakan tempat tinggal.
“Kesemua wanita terbabit tinggal di kondominium bangunan tersebut dan dipercayai masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.
“Modus operandi sindiket ini adalah GRO akan dibekalkan kepada pelanggan melalui pesanan WhatsApp sebelum dibawa ke premis tersebut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Imigresen 1963.
Tambah Khairrul Aminus, kesemua yang ditahan dibawah ke Depot Imigresen Semenyih bagi tujuan reman dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE