PETALING JAYA – Orang ramai kini boleh membuat semakan kelayakan untuk menerima manfaat Budi Madani RON95 (Budi95) secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my bermula hari ini.
Program subsidi bersasar ini membolehkan rakyat yang layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September ini tanpa mengira latar belakang.
Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada anggaran RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Sebagai penghargaan, kerajaan bersetuju memberikan keistimewaan buat warga polis dan tentera yang akan mula menikmati harga RON95 RM1.99 seliter bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 28 September.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), semakan boleh dibuat dengan mudah hanya klik pada pautan Budi Madani RON95 kemudian klik ‘Semak Kelayakan Individu’ dan masukkan nombor MyKad.
Selain portal rasmi, anda boleh hubungi talian pusat khidmat Budi Madani melalui e-mel tanya@budi95.gov.my atau nombor telefon 1300-88-9595 serta melalui WhatsApp +603-2631 4595 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Individu yang layak akan menerima pengesahan segera sekali gus boleh terus menikmati harga subsidi ketika mengisi minyak di stesen mengikut tarikh berkuatkuasa.
Berikut adalah syarat kelayakan Budi95 iaitu pemegang kad pengenalan warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif seperti;
1. Lesen Percubaan (CDL) Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA
2. Lesen Percubaan (PDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA)
3. Lesen Belajar Memandu (LDL) Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C
Untuk maklumat lanjut mengenai jenis lesen memandu dan kelas kenderaan, sila layari portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di https://www.jpj.gov.my/pusat-media-3 informasi-perkhidmatan-jpj/.
Bagi mereka yang didapati tidak layak selepas membuat semakan, sistem akan memaparkan ‘kod tidak layak’ berserta sebab.
Contohnya;
1. Lesen memandu tidak aktif berdasarkan rekod agensi.
2. Lesen memandu bukan daripada kelas dan jenis lesen yang diluluskan.
3. Individu tiada rekod MyKad dalam data agensi/nombor MyKad perlu semakan lanjut.
4. Tiada dalam senarai pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif kereta atau motosikal berdasarkan rekod JPJ
Berikut adalah langkah yang perlu dilakukan sekiranya status tidak layak iaitu hadir ke JPJ atau pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdekatan untuk semakan/kemas kini lanjut.
Setelah anda mengemaskini maklumat dengan agensi berkaitan, anda boleh membuat semakan semula kelayakan melalui portal rasmi www.budimadani.gov.my. – KOSMO! ONLINE