fbpx
POLIS meronda di Favela Cidada Alta, Rio de Janeiro pada 10 Jun lalu. – AFP

Polis Rio ambil nyawa ‘penjenayah’ dapat bonus 150 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RIO DE JANEIRO –  Ahli-ahli Parlimen negeri Rio de Janeiro di Brazil meluluskan bonus untuk anggota dan pegawai polis yang membunuh penjenayah dalam tindakan yang membangkitkan  kemarahan ramai pembela hak asasi manusia kerana risiko berlaku ‘pembunuhan beramai-ramai.’

Tindakan serupa  digelar  ‘Bonus Wild West’ itu pernah berkuat kuasa dari tahun 1995 hingga 1998, namun dibatalkan selepas angka kematian di tangan polis Brazil naik mendadak.

Langkah baharu  diluluskan lewat kelmarin itu ‘merangsang keganasan dan menjadikan kematian sebagai dasar awam,’ kata ahli parlimen berhaluan kiri Henrique Vieira yang mengundi menentangnya.

Di Rio de Janeiro, campur tangan polis yang agresif menjadi pemandangan biasa di kawasan setinggan  miskin dan padat penduduk dikenali sebagai favela di mana pengedar-pengedar  dadah berkuasa.

Langkah  itu bagaimanapun memerlukan pengisytiharan Gabenor Rio de Janeiro,  Claudio Castro untuk berkuat kuasa.

Langkah sama menetapkan bahawa anggota polis akan menerima bonus 10 hingga 150 peratus daripada gaji mereka ‘apabila merampas senjata berkaliber berat atau ‘meneutralkan penjenayah’.

Peguam hak orang kulit hitam, Djeff Amadeus  memberitahu AFP semalam bahawa inisiatif itu boleh mendorong ‘polis melakukan pembunuhan atau segala yang mungkin untuk mendapatkan lebih banyak wang.’

Pada tahun 2024, seramai 703 orang meninggal dunia semasa campur tangan polis di negeri Rio de Janeiro atau hampir dua orang setiap hari, demikian  menurut angka rasmi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN