BRASILIA – Empat orang terbunuh apabila sebuah pesawat ringan dinaiki mereka terhempas dan meletup di kawasan tanah lembap Pantanal di Brazil, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Dua daripada mangsa merupakan penerbit filem dokumentari, Luiz Fernando Feres da Cunha Ferraz dan Rubens Crispim Jr, manakala mangsa ketiga ialah arkitek China, Kongjian Yu serta juruterbang pesawat berkenaan.
Nahas berlaku di ladang Barra Mansa yang merupakan kawasan tumpuan pelancong di Aquidauana, negeri Mato Grosso do Sul.
Menurut Jabatan Bomba, pesawat Cessna 175 yang dibina pada 1958 itu berpusing di luar kawalan ketika menghampiri landasan malam kelmarin.
Anggota-anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dengan bantuan traktor dan jentera bomba tetapi pesawat itu telah terbakar.
“Empat mayat rentung,” demikian menurut pengesahan bomba sambil menambah, operasi menyelamat berlangsung sembilan jam kerana bentuk muka bumi tidak sekata menyukarkan akses ke tempat kejadian. – AGENSI