fbpx
DUA lelaki termasuk penolong pegawai pejabat tanah daerah direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan borang mengandungi butiran palsu berkaitan pindah milik tanah.

Penolong pegawai tanah, broker direman tipu pindah milik tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang penolong pegawai pejabat tanah daerah dan broker hartanah direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan borang mengandungi butiran palsu berkaitan pindah milik tanah.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus ke atas dua lelaki berusia 40 hingga 47 tahun di Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Noor Azreen membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman kedua-dua suspek bermula hari ini hingga Isnin depan.

Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas kedua-dua suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.30 pagi sebelum dibawa keluar satu jam kemudian.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah berpakat mengemukakan borang permohonan kebenaran pindah milik tanah Geran Mukim (GM) Mukim Lenggong yang mengandungi butir matan palsu termasuk tandatangan pemilik asal, dengan nilai dianggarkan antara RM260,000 hingga RM310,000.

Siasatan turut mendapati dokumen kelulusan Menteri Besar berkaitan tanah itu telah dipalsukan bagi membolehkan pindah milik ditukarkan kepada nama pemilik baru.

Selain itu, suspek menggunakan borang 14A (borang pindah milik) dengan menurunkan tandatangan serta mengetahui bahawa tandatangan pemilik asal adalah palsu sekali gus membolehkan urusan pindah milik dilakukan tanpa pengetahuan pemilik sebenar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI