BACHOK – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej vokasional Ahad lalu.
Tertuduh, Mohammad Khairuddin Ab. Razab, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Amin Rashidi Ramli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Norkhairi Amirul Sabri, 20, di Jalan Kampung Jembal, di sini pukul 9.07 malam pada 21 September lalu.
Oleh itu, Mohammad Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh diwakili peguam Latifah Ariffin.
Terdahulu, Muhammad Aiman mencadangkan jaminan RM7,000, namun Latifah dalam rayuannya memohon ikat jamin lebih rendah dengan alasan tertuduh yang mempunyai tiga anak merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu lelaki itu digantung sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE