KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing yang tular hingga hampir merempuh seorang pejalan kaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memandu kereta secara berbahaya, kelmarin.
Bagaimanapun, tertuduh, Chew Tiong Han, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta telah memandu secara berbahaya kepada orang awam, mengambil kira segala hal keadaan di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pukul 6.30 petang pada 23 September lalu yang didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda tidak lebih RM15,000 serta butir-butir sabitan akan diendorskan pada lesen memandu yang dipegang dan hilang kelayakan memandu tidak kurang lima tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jumlah jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Gurusharonjit Kaur yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan dengan mengambil kira dia menanggung nafkah anaknya walaupun sudah bercerai dan bapa yang mempunyai sakit jantung.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan 18 November ini sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan seorang pemandu e-hailing memandu secara berbahaya sehingga hampir melanggar seorang pejalan kaki di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini membawa padah apabila dia ditahan polis. – KOSMO! ONLINE