KLANG – Tindakan nekad seorang wanita warga Indonesia terjun daripada tingkat tiga sebuah blok bangunan memakan diri apabila cedera di bahagian pinggang hingga kaki dalam operasi bersepadu di Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, wanita dikenali Manda berusia 31 tahun bertindak sedemikian disebabkan pasportnya telah tamat tempoh sejak empat bulan lalu.
Manda memaklumkan dia bekerja di sebuah kedai runcit sekitar lokasi tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Katanya yang berasal dari Medan itu, dia tinggal bersama rakan senegaranya di sebuah bilik di tingkat tiga.
“Saya gagal hubungi rakan dan takut ditangkap sebelum melompat dari tingkap bilik saya. Pasport saya sudah empat bulan tamat,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Wanita itu yang cedera kemudiannya diberikan rawatan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sepanjang operasi selama tiga jam bermula 9.30 malam itu, ada warga asing sanggup berhimpit menyorok di saluran kumbahan dan tempat pembuangan sampah.
Operasi itu disertai 242 anggota dan pegawai termasuk dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan APM.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 1,132 individu telah diperiksa dengan 662 daripada mereka merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, secara pecahannya melibatkan seramai 545 warga Bangladesh, Myanmar (36), Pakistan (35), Nepal (24) dan masing-masing 10 bagi warga Indonesia dan India berusia 16 hingga 80 tahun.
“Ia adalah hasil pemeriksaan terhadap sembilan buah blok bangunan keseluruhannya.
“Pemeriksaan mendapati ada yang tinggal lebih masa selain tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja,” katanya.
Kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C), Seksyen 6(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
“Mereka akan dihantar ke Ibu Pejabat Imigresen Selangor untuk diperiksa sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Semenyih bagi tindakan lanjut.
“Selain itu, ini merupakan julung-julung kali kita melakukan operasi di Pulau Indah dan akan diperhebatkan dari masa ke semasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE