MOTEGI – Marc Marquez bakal menamatkan penantian enam tahun apabila tampil dengan peluang pertama untuk dinobatkan juara dunia MotoGP sejak 2019 ketika saingan Grand Prix (GP) Jepun hujung minggu ini.
Marquez, 31, mengakui hampir bersara sebelum membuat keputusan berani berhijrah ke Gresini iaitu langkah yang kini membuka ruang kepadanya memburu gelaran dunia kelapan MotoGP.
Setelah memiliki kelebihan 182 mata di puncak kejuaraan, hanya adiknya, Alex masih kekal dalam perebutan, namun situasinya hampir mustahil kerana Marquez hanya perlu mengelak kehilangan lebih daripada tiga mata untuk mengesahkan gelaran lebih awal.
“Kami cuba kekal dengan suasana biasa. Tapi, memang sukar sebab tubuh anda tahu sesuatu yang besar sedang menanti. Saya mahu kekalkan tahap sama seperti sepanjang musim ini.
“Saya tetap mahu berlumba untuk menang, bukan sekadar mengutip mata. Itu cara saya sejak enam gelaran lalu, termasuk kali ini di Motegi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Marquez mengakui saingan daripada Alex tetap berbahaya kerana kepantasannya di setiap litar termasuk ketika ujian di Misano, sekali gus membuatkan usaha menutup gelaran di Motegi bukan tugas mudah.
Alex pula memberi tumpuan untuk mengekalkan kelebihan 93 mata ke atas Francesco Bagnaia demi merealisasikan sejarah dominasi adik-beradik Marquez dalam saingan MotoGP. – AGENSI