fbpx
Tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki kad ATM milik wanita tempatan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Lelaki Nigeria didakwa miliki kad ATM wanita tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang lelaki warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik wanita tempatan dan tinggal melebihi masa tanpa permit sah di negara ini, September lalu.

Tertuduh, Udoh Imeh, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan, tertuduh telah memiliki satu kad ATM Maybank milik seorang wanita tempatan berusia 44 tahun dengan maksud untuk menghalang atau mengecewakan pemilik sebenar daripada mendapat haknya.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2.20 petang di Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 8 September lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial tanpa sebarang pas atau permit yang sah pada 12 September 2025.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes 29 Oktober depan.

Sementara itu, dua rakan tertuduh iaitu Hendry Chinonso Udemba, 39, warga Nigeria dan Eric Onumah, 49, warga Ghana pula didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial pada tarikh sama dengan Udoh.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN