BACHOK – Suasana cemas menyelubungi penduduk Kampung Pagar Raja, Pantai Damak, di sini, apabila sebuah rumah pusaka berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran pada pukul 3.30 petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, penghuni rumah, Mat Sharmizi Mat Lazim, 45, seorang buruh kampung sempat melaungkan azan bagi meredakan api.
Ujarnya, tindakan itu dilakukan selepas memastikan ibunya, Hasnah Yaakub, 65, yang sedang menunaikan solat zuhur dapat diselamatkan bersama lima orang cucu yang bermain di halaman rumah.
“Hanya barang kemas sempat dibawa keluar, namun wang tunai dan sebuah motosikal EX5 musnah sama sekali,” katanya semalam.
Mat Sharmizi berkata, rumah papan tiga bilik itu merupakan pusaka keluarga yang dihuni tiga beranak dan enam orang cucu dengan nilai kerugian dianggarkan melebihi RM150,000.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada adik mangsa sebelum bergegas ke lokasi.
“Api dipercayai bermula dari bahagian dapur dan merebak pantas dalam tempoh kira-kira 15 minit disebabkan tiupan angin. Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak,” jelasnya.