CYBERJAYA- KKM bakal mencadangkan buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada Kabinet bagi menggalakan rakyat mengamalkan pemakanan sihat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu akan dipertimbangkan memandangkan masih ramai rakyat, khususnya golongan muda yang kurang mengamalkan pemakanan seimbang.
“Saya akan membawa perkara ini sebagai satu pandangan, atau satu pertimbangan, ini semua adalah strategi menggalakkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang gemar mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya golongan muda.
Tambah beliau, usaha menjadikan makanan sihat lebih mampu milik dan mudah didapati adalah sebahagian daripada strategi pendekatan halus bagi mengubah gaya hidup rakyat.
“Tetapi persoalannya bagaimana kita boleh menggalakkan mereka, menolak mereka supaya akhirnya lebih cenderung mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya. – KOSMO! ONLINE