fbpx
Op Cegah Khas dijalankan serentak di seluruh negara baru-baru ini.

Kedah paling ramai ditahan kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seramai 1,411 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Cegah Khas serentak di seluruh negara yang menyasarkan lokasi tumpuan termasuk di kawasan berisiko tinggi (KBT) penagihan dadah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, seramai 1,132 orang daripada jumlah itu positif dadah, manakala bakinya individu yang gagal hadir jamin dan gagal mematuhi syarat rawatan pemulihan dalam komuniti.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin lalu itu, Kedah merekodkan jumlah tertinggi yang ditahan iaitu seramai 263 orang, diikuti Johor (151 orang) dan Perak (139 orang).

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan merangkumi usia 19 hingga 61 tahun itu, 855 individu positif methamphetamine, diikuti dadah jenis opiat 186 orang dan 29 lagi positif kedua-dua dadah itu.

“Seramai 41 individu pula positif ganja, manakala ketum 15 orang; methamphetamine dan ganja (dua); ketamin (dua); dan benzo serta MDMA masing-masing seorang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Sementara itu, Zainuddin berkata, Kedah merupakan negeri tumpuan bagi Op Cegah Khas kali ini dengan 178 orang daripada yang ditahan merupakan penagih baharu dikesan.

“Kuala Kedah di daerah Kota Setar mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 71 orang, diikuti Kota Kuala Muda di daerah Kuala Muda 21 orang dan 20 orang di Ayer Hangat, Langkawi. Ini menjadikan data tangkapan keseluruhan di Kedah dari Januari hingga hari ini adalah seramai 3,189 orang.

“AADK menjalankan operasi ini bagi mengesan secara intensif penagih dan penyalahgunaan dadah untuk diberikan rawatan dan pemulihan. Jadi, kita minta semua yang menghadapi masalah penyalahgunaan dadah untuk tampil secara sukarela bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, AADK berdepan pelbagai cabaran apabila dadah mudah diperoleh golongan muda melalui pembelian secara dalam talian dan ibu bapa, masyarakat serta komuniti diminta untuk sentiasa peka bagi mencegah isu berkaitan dadah ini dengan lebih awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN